Hospital Queen Elizabeth (Kota Kinabalu)

Malaysia / Sabah / Kota Kinabalu / Jalan Penampang, 2029

Sebelum Hospital Queen Elizabeth dibina pada tahun 1957, hospital yang lama yang digunakan di Kota Kinabalu adalah Hospital Jesselton. Hospital Jesselton dibangunkan serta merta selepas Perang Dunia Kedua. Hospital ini terletak di batu 1 Jalan Tuaran bersebelahan dengan bangunan Radio Malaysia Sabah (RTM). Hospital ini diperbuat daripada papan dengan atap belian dan daun nipah.

Hospital Queen Elizabeth dibuka secara rasmi pada 14hb September 1957 oleh 'Countess of Perth' dan Menteri Negeri untuk Hal-Ehwal Tanah Jajahan 'The Earl of Perth'. Pada masa itu hospital ini hanya mempunyai satu blok bangunan sahaja, iaitu blok yang dikenali sebagai Blok Lama. Hospital ini dibina diatas sebuah bukit kecil yang terletak di batu 1 1/2 Jalan Penampang. Pada permulaannya hospital terdiri dari 208 buah katil sahaja. Pada tahun itu juga Hospital Tibi dibina di satu lagi bukit berhampiran dengan Hospital Queen Elizabeth. Hospital Tibi tersebut mempunyai 135 buah katil.

Sejak perbukaannya pada tahun 1957, Hospital Queen Elizabeth telah berkembang dengan pantasnya. Ia menjadi semakin besar dan kompleks dengan pembinaan baru dan kerja pengubahsuaian dari masa ke semasa.

Pada tahun 1967 sebuah blok baru dibina untuk menempatkan Jabatan Pesakit Luar dan Makmal Pusat. Maka blok Jabatan Pesakit Luar yang lama diubahsuai untuk unit fisioterapi.

Pada tahun 1980 dibina pula satu blok Maternity dan Nursery. Pada bulan Mei 1981, Wad kelas Pertama Maternity mula beroperasi. Kemudian Wad Lama Maternity diubahsuai dan menjadi Wad Kanak-kanak. Pejabat Pentadbiran Am dipindahkan ke Tingkat satu di blok lama dan tempat yang dikosongkan diambilalih oleh Jabatan Patologi(Makmal). Di samping itu Bahagian Kecemasan dan Kemalangan di Jabatan Pesakit Luar diperbesarkan dengan perbelanjaan RM 75,000.

Pembangunan yang terbesar sekali ialah pembinaan blok 8 Tingkat yang baru(Tower Blok) dengan perbelanjaan RM 20 juta pada 1981. Pembukaan "Tower Block" ini pada Disember 1981 mengubah sekaligus pemandangan di kawasan sekeliling hospital yang dahulunya terdiri daripada bukit-bukau yang rendah. Blok ini sekarang dikenali sebagai mercu tanda bagi bandararya Kota Kinabalu. Blok ini menempatkan CSSD, Farmasi Pesakit Dalam, Jabatan Radiologi, Jabatan Oftalmologi, semua wad-wad pembedahan, Wad Kelas Pertama dan Wad Kenamaan.

Pada masa ini Hospital Queen Elizabeth adalah hospital terbesar di negeri Sabah. Ia telah menjadi hospital rujukan kepada semua hospital daerah di negeri ini dan mempunyai 589 buah katil. Hospital ini juga memberi perkhidmatan kepakaran dalam semua bidang perubatan utama termasuklah Unit Burns dan Unit Rawatan rapi Kanak-Kanak. Namun demikian perkembangan Hospital Queen Elizabeth belum tamat. Rancangan Pelan induk yang telah bermula sejak tahun 1995 dan diimplementasi secara beransur-ansur dalam dua fasa sehingga tahun 2010. Termasuk dalam rancangan tersebut adalah pembinaan Tower Blok Baru yang menempatkan Blok Kecemasan dan Kemalangan yang baru, Makmal Pusat, wad-wad dengan jumlah 218 buah katil, penbesaran unit Rawatan Rapi dan Unit Koronari baru. Ke semua rancangan tersebut akan membawa hospital ini ke arah abad ke 21 dimana hospital ini akan memainkan peranan yang lebih mustahak lagi dalam pembinaan masyarakat yang sihat dan progresif.

Tel: 088 218166
Faks: 088 211999
Bandar berdekatan:
Koordinat-koordinat:   5°57'24"N   116°4'24"E
This article was last modified 11 tahun yang lalu